Tuesday, August 26, 2008

BUKA UiTM UNTUK SEMUA!

Tabik hormat untuk mahasiswa UiTM yang berani berdemontrasi dan turun ke jalanraya berarak berbatu jauhnya dari pusat pengajian mereka ke pejabat kerajaan Negeri Selangor. Semangat berani turun ke jalanraya ini perlu dicontohi oleh mahasiswa-mahasiswa di universiti-universiti lain. Demontrasi dan perarakan jalanraya yang dilakukan oleh mahasiswa UiTM itu adalah sebagai protes terhadap kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang mencadangkan agar UiTM membuka kuota sebanyak 10% kepada kaum bukan-bumiputera. Kami di PROMIS (Pergerakan Progresif Mahasiswa Islam) hormat dan menyokong penuh tindakan mahasiswa UiTM turun ke jalanraya dan berdemontrasi ini.

Tindakan turun ke jalanraya dan berdemontrasi ini perlu dijadikan budaya mahasiswa bukan sahaja sebagai protes terhadap Menteri Besar Selangor tetapi juga terhadap apa sahaja yang dirasakan salah, zalim, korup, tidak betul dan tidak adil khususnya ketidakadilan yang dilakukan oleh mereka yang berkuasa termasuklah Perdana Menteri, Menteri Pendidikan, NC, TNC, parti pemerintah mahu pun parti pembangkang.

Tetapi hormat dan sokongan kami kepada mahasiswa UiTM yang turun berdemontrasi itu hilang bila kita membicarakan tentang isu yang menjadi bantahan dan protes mereka. Mahasiswa UiTM turun ke jalanraya untuk membantah cadangan untuk membuka 10% tempat di UiTM kepada kaum bukan-bumiputera. Kami di PROMIS bukan sahaja tidak bersetuju dengan mahasiswa UiTM tersebut tetapi kami juga tidak bersetuju dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Kami di PROMIS berpendirian bahawa UiTM perlu dibuka untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan tanpa mengira kuota. Hanya ada dua perkara sahaja yang sepatutnya menjadi kriteria di dalam pemilihan kemasukan pelajar ke UiTM (atau mana-mana universiti tempatan yang lain). Kriteria yang paling utama ialah merit. Mahasiswa yang dipilih wajib mempunyai merit. Di dalam ajaran Islam sendiri ditegaskan bahawa setiap muslim wajib berusaha keras untuk menjadi yang terbaik termasuklah di dalam bidang pendidikan dan keilmuan. Merit ini sangat-sangat penting untuk melahirkan mahasiswa yang benar-benar berkualiti, berfikiran kritis dan kompetitif. Kalau kemasukan ke universiti tidak berdasarkan merit, apa yang akan lahir adalah sampah. Sukar untuk menggilap sampah di dalam tempoh yang terlalu singkat (3-4 tahun) di universiti. Kerana itu merit adalah kriteria yang paling utama yang harus menjadi sandaran di dalam pemilihan kemasukan ke UiTM (atau mana-mana universiti tempatan yang lain).

Kriteria kedua yang juga wajib menjadi pertimbangan untuk pemilihan kemasukan ke universiti ialah kedudukan sosio-ekonomi tanpa mengira kaum. Mereka yang datang dari kelas bawahan dan keluarga susah baik di bandar atau di kampung, mereka yang datang dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah, mereka yang datang dari kawasan pedalaman dengan kemudahan pendidikan yang teruk dan tidak mencukupi dan mereka yang datang dari kondisi sosio-ekonomi yang dhaif tidak kira Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Orang Asli dan pelbagai etnik lain perlu diberi pertimbangan yang sewajarnya di dalam pemilihan kemasukan ke UiTM (atau mana-mana universiti tempatan yang lain).

Ini sangat penting untuk dilaksanakan supaya peluang yang adil dan saksama (bukan sama) dapat disediakan kepada mereka yang datang dari keluarga yang berkedudukan sosio-ekonomi rendah ini. Namun begitu kriteria kedua ini perlulah bersandarkan kepada kriteria utama iaitu merit. Suatu dasar dan mekanisme pelaksanaan yang adil dan saksama perlu dicari untuk mencari keseimbangan antara kriteria merit dan kriteria kedudukan sosio-ekonomi agar kualiti mahasiswa tidak dikorbankan dan pada masa yang sama mereka yang berada di kedudukan sosio-ekonomi yang rendah tidak diabaikan.

Dasar yang sebegini jika dijadikan teras pemilihan di dalam kemasukan mahasiswa ke UiTM (atau mana-mana universiti tempatan yang lain) adalah sangat-sangat menepati nilai-nilai Islam yang menekankan tentang peri pentingnya kelayakan atau merit, keadilan, kesaksamaan dan keprihatinan terhadap golongan miskin, susah, berpendapatan rendah dan kelas bawahan tanpa mengira kaum. Memilih berdasarkan kaum cenderung tidak adil kerana tidak semua kaum bumiputera miskin dan tidak semua kaum bukan-bumiputera kaya. Ada kaum bumiputera yang kaya raya dan ada kaum bukan-bumiputera yang miskin dan dhaif kehidupannya. Justeru itu, pemilihan berdasarkan kaum hanya akan mendiskriminasikan kaum bukan-bumiputera yang mempunyai merit dan datang dari keluarga miskin. Adakah Islam menghalalkan diskriminasi berasaskan kaum seperti ini? Adakah dasar memilih hanya kaum bumiputera untuk masuk ke UiTM dan mengetepikan kaum bukan-bumiputera itu suatu dasar yang Islamik?

Kami di PROMIS berpendirian bahawa dasar pemilihan kemasukan mahasiswa ke UiTM yang berasaskan kepada satu-satu kaum semata-mata (bumiputera sahaja) adalah suatu dasar yang bersifat diskriminasi terhadap kaum lain (khususnya kaum bukan-bumiputera yang miskin dan mempunyai merit) dan melanggar prinsip-prinsip keadilan sejagat tanpa mengira kaum yang diperjuangkan oleh Islam. Kami ingin menegaskan di sini bahawa Islam bukan agama yang bersifat diskriminatif. Tindakan mahasiswa UiTM yang membantah kemasukan kaum bukan-bumiputera ke UiTM adalah bukan tindakan yang mencerminkan nilai-nilai keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan yang menjadi intipati ajaran Islam. Memandangkan Islam tidak pernah menganjurkan diskriminasi kaum atau etnik, maka UiTM haruslah dibuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, etnik atau agama dan kemasukannya pula haruslah berlandaskan merit dan kedudukan sosio-ekonomi.

Perlembagaan Persekutuan negara kita juga tidak pernah menganjurkan diskriminasi kaum. Kekeliruan tentang Perlembagaan Persekutuan khususnya mengenai perkara 153 (yang dikatakan memberi hak keistimewaan yang mutlak kepada kaum Melayu/Bumiputera) ini sering timbul kerana ramai dari kita tidak pernah membaca Perlembagaan Persekutuan. Jika kita membaca perkara 153 secara keseluruhan dengan lebih teliti dan mendalam, kita akan mendapati bantuan atau keistimewaan yang diberikan oleh perkara 153 terhadap kaum Melayu atau bumiputera bukanlah bersifat mutlak dengan menafikan peluang kaum bukan-bumiputera. Di dalam memberi bantuan atau keistimewaan terhadap kaum bumiputera, peluang kaum bukan-bumiputera untuk maju tidak boleh dinafikan.

Perkara 153 (1) (2) dan (3) yang memberi keistimewaan atau perezapan terhadap kaum bumiputera di dalam 3 bidang iaitu perkhidmatan awam, perniagaan dan pendidikan haruslah dibaca dengan 153 (4) yang menyatakan dengan jelas bahawa di dalam melaksanakan perkara 153 (1) (2) dan (3) Yang Di Pertuan Agong tidak boleh melucutkan atau menafikan peluang orang lain di dalam bidang perkhidmatan awam, perniagaan dan juga pendidikan. Justeru itu, jika kita mengambil intipati perkara 153 secara keseluruhannya di dalam kes UiTM ini, maka akan terserlah bahawa tindakan untuk tidak membenarkan kaum bukan-bumiputera memasuki UiTM adalah suatu tindakan yang bukan sahaja melanggar semangat Perlembagaan Persekutuan tetapi juga mencabar persefahaman yang telah dibuat oleh pendiri-pendiri negara kita yang terdahulu.

Ramai mahasiswa khususnya mahasiswa Melayu yang berpandangan bahawa Perlembagaan Persekutuan memberi hak keistimewaan di dalam pendidikan kepada kaum bumiputera. Benarkah ada sesuatu yang dinamakan “hak keistimewaan” di dalam Perlembagaan Persekutuan? Ramai dari kita yang menjadi pak turut mengiyakan apa yang orang lain kata tanpa kita sendiri menyemak kesahihannya. Justeru itu silalah beli Perlembagaan Persekutuan (harganya cuma RM10.00 sebuah) dan baca perkara 153 dengan teliti.

Perkara 153 tidak ada menyebut langsung tentang “hak keistimewaan Melayu”. Apa yang ada hanyalah “kedudukan istimewa”. “Hak” bermakna mesti dapat, tetapi “kedudukan” di sini membawa maksud kedudukan di dalam konteks sejarah, di mana di waktu perkara 153 Perlembagaan Persekutuan ini digubal kedudukan orang Melayu sebagai kaum pribumi pada ketika itu, kedudukan sosio-ekonominya rata-rata ketinggalan dan keterbelakang dan justeru itu, perlu diberi bantuan sebagai usaha untuk memastikan orang Melayu pada ketika itu tidak ketinggalan baik dari segi ekonomi, pekerjaan, mobiliti sosial mahu pun pendidikan. “Kedudukan” di sini tidak bermakna mesti dapat atau untuk selama-lamanya kerana “kedudukan” sudah tentu boleh berubah. Jika sekiranya, Perlembagaan Persekutuan menginginkan bantuan terhadap orang Melayu ini bersifat tetap dan selama-lamanya, sudah tentu perkataan “hak” digunakan tetapi yang nyata Perlembagaan Persekutuan tidak menggunakan perkataan “hak” sebaliknya menggunakan perkataan “kedudukan” yang memberi erti boleh berubah dan bukan untuk selama-lamanya!

Menyekat kemasukan kaum bukan-bumiputera ke UiTM di zaman sekarang di tahun 2008 ini bukan sahaja menyalahi semangat Perlembagaan Persekutuan tetapi juga merupakan tindakan yang terkebelakang dan memalukan kaum bumiputera khususnya kaum Melayu itu sendiri. Memalukan kerana UiTM itu didirikan hasil dari peluh, keringat, tenaga dan cukai yang disumbangkan oleh setiap warganegara Malaysia tanpa mengira kaum atau agama. UiTM tidak dibina hanya dengan duit cukai kaum bumiputera sahaja. Gaji NC, TNC, pensyarah-pensyarah, staf-staf dan pekerja UiTM tidak dibayar dengan duit cukai kaum bumiputera cuma. Begitu jugalah dengan kemudahan pendidikan dan yuran yang murah yang dinikmati oleh mahasiswa UiTM (termasuklah 8,000 orang yang berdemontrasi tempoh hari) disubsidikan bukan hanya dengan duit cukai kaum bumiputera semata-mata.

Malahan kemungkinan besar duit cukai yang digunakan untuk membina UiTM, membayar gaji NC, TNC, pensyarah-pensyarah, staf-staf UiTM dan mensubsidikan kemudahan pendidikan dan yuran murah yang dinikmati oleh mahasiswa UiTM, sebahagian besarnya datang dari duit cukai yang disumbangkan oleh kaum bukan bumiputera! Mahasiswa-mahasiswa UiTM perlu sedar bahawa mereka dapat masuk ke UiTM dengan subsidi yuran yang murah adalah kerana cukai yang turut disumbangkan oleh kaum bukan-bumiputera! Justeru itu, adakah adil kaum yang turut menyumbang kepada kewujudan UiTM dan keberlangsungan UiTM itu dinafikan sama sekali peluangnya untuk memasuki UiTM ? Adakah ajaran Islam menghalalkan perkara seperti ini berlaku ? Adakah terdapat sebarang nas Al-Quran dan Sunnah Nabi yang sahih yang membenarkan perkara seperti ini wujud ? Jelas sekali jawapan untuk ketiga-tiga soalan ini adalah – TIDAK ! Jika tidak adil dan tidak ada sebarang nas baik di dalam Al-Quran mahu pun Sunnah Nabi yang sahih yang menyokong dasar seperti ini, kenapakah dasar yang sangat tidak Islamik ini mesti diteruskan?

Sekali lagi kami di PROMIS ingin menegaskan bahawa tindakan menyekat kemasukan kaum bukan-bumiputera ke UiTM adalah tindakan yang bukan sahaja tidak selari dengan konsep kehidupan bernegara moden yang mana setiap warganegaranya mesti dilayan secara adil dan saksama malahan sekatan ini juga telah jauh tersasar dari semangat sebenar Perlembagaan Persekutuan sepertimana yang telah dibincangkan di atas. Dan jika kita tinjau dari sudut Islam jelas bahawa tindakan menyekat kemasukan kaum bukan-bumiputera ke UiTM adalah suatu tindakan yang bersifat diskriminasi dan di dalam Islam tidak ada diskriminasi baik atas nama kaum, etnik mahupun agama. Amat sayang sekali mahasiswa Melayu-Islam yang berdemontrasi tempoh hari di Shah Alam itu gagal untuk memahami nilai-nilai keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan yang universal yang merentasi kaum dan etnik yang menjadi intipati kepada agama yang dianuti oleh mereka sendiri iaitu agama Islam. Ketidakfahaman mereka tentang kesejagatan Islam itu mungkin kerana mereka telah menyempitkan Islam yang universal menjadi Islam versi Melayu UiTM.

Perjuangan Islam bukan semata-mata untuk orang Melayu atau orang Islam sahaja tetapi untuk seluruh manusia sejagat. Justeru itu, demi nilai-nilai keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan yang menjadi teras kepada ajaran Islam, kami di PROMIS mengajukan supaya UiTM dibuka untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, etnik atau agama tetapi berdasarkan kepada nilai-nilai keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan yang berlandaskan merit dan kedudukan sosio-ekonomi.


Email: progresif_islam@yahoo.com
Blog: http://www.progresifislam.blogspot.com

No comments: